Satu kurniaan dari Allah swt..



Assalamualaikum wbt,

15 Aug 2008 - Jumaat, satu pagi yang indah, dingin dan segar. Alhamdulillah hari ini aku masih menghirup udara kurnian Allah swt, masih lagi diberi peluang untuk berkata-kata, berjalan, dan melakukan solat subuh pagi ini.

Sebaik ajer alarm clock atas meja sebelah katil aku berbunyi aku merunggut, kenapa aku kena bangun seawal ini, kenapa aku harus pi kerja, knp itu dan kenapa ini... betapa tak bersyukurnya aku..

Siap solat subuh, aku bersiap untuk ke pejabat. Memakai baju yang telah digosok isteriku, memakai tali leher yang telah disediakan isteriku...arrhhhh..rimas! betapa tak bersyukurnya aku..

Siap semua aku turun dari bilik terus ke meja makan, isteriku telah siapkan sarapan untuk aku. Nescafe dan roti.. "roti lagi!!! tak ada benda lain ke?" rungut aku dalam hati. aku menghirup sedikit sahaja nescafe dan makan sekeping sahaja dari 4 keping yang disediakan isteriku marlina..bazir sahaja! (terima kasih sayang sediakan abg sarapan setiap pagi) betapa tidak bersyukurnya aku...

Mungkin terlalu banyak sunggutan dari hati aku di pagi penghulu segala hari ini, dengan kuasa Allah swt dalam perjalanan ke tempat kerja, aku tersangkut dalam kesesakan dan ketika itu suatu yang benar-benar tak pernah aku terfikir terjadi di depan mata aku.. Allahuakbar!!!

Suatu pementasan drama yang tidak dirancang, sebuah realiti kehidupan yang harus ditempuh walaupun pahit...

Jam di dashboard kereta aku pukul 6.50am. Pagi lagi aku dah sangkut dalam jem sebab ada accident. Kesesakan menyebabkan kereta aku langsung tidak bergerak selama 10 minit aku kira.

Dan ketika itulah aku terlihat, seorang budak lelaki sekitar 8 tahun lengkap berpakaian sekolah rendah dengan beg yang besar dan rebeh di sandang belakangnya.. baju dia kelihatan agak lusuh.. dia berlari bersungguh-sungguh di bahu jalan dan itu menarik perhatian aku. aku tertanya aper benda yang dikejarkan? tiba-tiba budak tu berhenti dan membongkok seolah mengutip sesuatu. Dia mengutip sebiji tin coca-cola dan menjerit kepada seseorang dibelakang nya "ayah, abang jumpa satu!" gembira sungguh riaksinya seolah-olah terjumpa satu jongkong emas. lalu aku menoleh kebelakang, aku lihat sepasang suami isteri di pertengahan usia yang sedang berpegangan tangan dan berpakaian sederhana sahaja berjalan laju kearah budak lelaki itu. jelas aku lihat di tangan sebelah kiri lelaki itu ada satu beg plastik berisi beberapa lagi tin minuman kosong. Mungkin untuk dijual dan dijadikan belanja seharian mereka sekeluarga. kemudian lelaki tersebut sambil tersenyum mengambil tin dari tangan anaknya, di kemekan tin itu dan dimasukkan ke dalam plastic beg di tangannya. dia menggosok kepala budak lelaki itu dan terus melangkah bersama-sama. lelaki tersebut masih terus memimpin tangan isterinya dan budak itu berjalan dihadapan seolah-olah sedang mencari-cari lagi tin dihadapannya... mereka pun berlalu dan hilang dari pandangan aku.

Aku tak sedar, bila air mata aku menitik... aku rasa betol-betol sayu dengan 'drama' pendek hadiah dari Allah swt kepada hamba-Nya yang tak reti bersyukur ini! aku kagum dengan kegigihan mereka, semangat mereka, redha mereka, sesungguhnya mereka adalah lebih mulia dari aku yang memandu kereta besar ke pejabat, lengkap dengan tali leher dan pakaian dari jenama ratusan ringgit, tapi tidak tahu menghargai pemberian itu. Siapa aku hari ini tanpa rahmat dari-Nya??? Bagi aku, harga sebiji tin coca-cola kosong yang dipegang budak itu adalah lebih mahal dari aper yang aku ada hari ini.

"Ya Allah, ampunkan dosa-dosa ku, aku terleka seketika dengan nikmat dunia dan terlupa segala rahmat dari-Mu"

Perjalanan aku ke pejabat diteruskan, dan sepanjang perjalanan itu fikiran aku terus melayang memikirkan tentang keluarga itu. Dalam perjalanan kesekolah pun budak itu masih membantu bapanya mencari tin, begitu setia ibunya berjalan berpimpin tangan dengan seorang lelaki yang hanya bekerja sebagai seorang pencari tin, dan seorang lelaki yang masih mampu tersenyum dan bahagia hanya dengan hasil mencari tin. Cukupkah? bagaimana mereka boleh hidup begitu? dan jeritan dari budak itu betul-betul buat aku tersentuh "Ayah, abang jumpa satu!"

Teringat aku pada surah yassin ayat 82 yang aku baca dengan isteri aku malam tadi yang bermaksud; "Sesungguh-Nya, apabila Dia mengkehendaki sesuatu maka berkata kepadanya 'JADILAH' maka terjadilah ia..."

"Ya Allah, terima kasih atas 'drama' pendek yang cukup menyedarkan aku pagi ini..."

Wassalam..

Aku, Apei budak kampung di bandar besar.

Comments

Popular Posts