Sunday, November 28, 2010

Makan dengan JIWA.

Assalamualaikum wbt,

"Tak sedap dah nasik goreng kat kedai ni" kata gua kepada Pn Marlina sambil kunyah perlahan2 nasik goreng ikan masin.

"Ok ajer, rasa mcm biasa ajer" Jawab Pn Marlina buat muka kerut dahi tanda tak setuju ngan cadangan gua mengatakan nasik goreng dah tak sedap.

"Emm.. air nescafe ni pun dah tak sedap. Tawar. Harga susu dah naik kot?" Gua cuba kompelin pasal air pulak.

"Ok ajer... sama ajer rasa mcm selalu" Pn Marlina tak setuju lagi sambil hirup nescafe tarik dari cawan gua.

"Ke tekak abg ni rasa tak sedap" Gua dah start letak sudu tak nak meneruskan makan.

"Makan ni pun kena ada jiwa, kena ikhlas, baru nikmat tu ada..." Jawab Pn Marlina sambil meneruskan suapan ke-4 nasik goreng ikan masin masuk ke dalam mulut.

Perhhh bisa siol.

apei - budak kampung

Monday, November 22, 2010

kepsi

Assalamualaikum wbt,

Cuti sekolah hujung tahun darjah 4 nak masuk darjah 5. Aktiviti cuti sekolah gua dipenuhi dengan agenda-agenda memancing, main askar-askar pakai pistol ceri, kejar itik dan rembat jambu air kat kebun tok ayah buat bekal rewang naik basikal sambil menuju tempat mandi sungai dan aktiviti wajib adalah main bola petang-petang.

Pagi tu gua dengan Syawal (cucu tok ayah) ada projek untuk carik buluh kat tepi sungai nak buat layang-layang sebagai bahan permainan kami lepas zohor nanti. Baru kami nak memulakan langkah kayuhan basikal, tok ayah sound dari serambi rumah.

"Hangpa nak pi mana pagi-pagi?"

"Nak pi mengaji tok ayah" Jawab Syawal stedy dari atas basikal jipang handle panjang beliau.

"Tak payah nak menipu. Pi mengaji tang mana dok pakai suar pendek ngan singlet. Hang dua-dua ekoq tunggu sat. Ikot aku pi pekan aku nak pi tabung aji"

Sesetengah kutu bila mak bapak atau atok nenek ajak kuar town walaupun pi pejabat pos dah kira seronok abis pasal dapat naik bas sambil tengok-tengok makwe dalam bas. Tapi pada gua, keluar ikot orang tua pi town adalah tidak cool. Banyak projek gua terpaksa dibatalkan atau di pospon ke tarikh lain. 10 minit, tok ayah dah siap dengan baju pagoda, dan pakai kain pelekat ikat dengan tali pinggang hijau orang pergi haji sebagai tempat letak buku tabung haji.

Tok ayah tak ada transport lain selain dari basikal buruk untuk dia berulang ke kebun dan pergi surau. Gua, Syawal dan Tok ayah berjalan kaki sampai simpang 3 dan tunggu kereta sapu untuk ke pekan.

Sampai pekan, di opis tabung aji suasana memang bosan. Sorang makwe pun gua tak nampak selain dari makcik-makcik, pakcik-pakcik dan atok nenek yang nak pergi haji. Orang kerje kat kaunter semua pakai songkok dan baju butang sampai atas. Tak ada sorang pun kelibat kutu-kutu atau mat rock untuk buat teman gua berborak. Syawal memang tak boleh harap, masuk opis tabung haji ada ekon terus terlelap.

15 minit, tok ayah salam-salam dengan orang kaunter tabung aji sambil cakap 'Assalamualaikum'. Maka berakhirlah penderitaan gua di opis tabung aji.

"Tok ayah nak pi kedai depan sat, hangpa nak ikot?"

"Kedai mana tok? kitorang nak pi ngaji ni nanti lambat" kata Syawal padahal nak balik cepat nak carik buloh.

"Moh ikot, tok ayah belanja hangpa makan naa"

Gua melangkah menyeberang jalan menuju kedai dengan papan tanda merah ada gambar orang muka mcm tok ayah tengah senyum kat depan pintu masuk kedai tu.

Setelah 10 tahun gua hidup dan membesar dengan masak tempoyak dan sambal tempe, yer itu kali pertama gua merasa dan mengenal apa itu kepsi (KFC).

**********
"Bang.. ooo abg... aper termenung?! makan ler cepat. Tak selera ke?" Pn Marlina mengoyang-goyangkan tangan depan mata gua. Gua tersentak.

"Emm... tak ada apa.. tetiba dok teringat arwah tok ayah belanja abg makan kepsi masa umur abg 10 tahun. Katanya sebab abg peksa dapat no 1, syawal dapat no 4" Gua tersenyum memandang Pn Marlina kemudian ke Cik Orked yang sedang mengunyah nugget kepsi sebagai hidangan dinner kami sambil senyum-senyum kat gua.

"Untung Orked baru 2 tahun dah merasa kepsi.."

apei - budak kampung

Thursday, November 18, 2010

Tajuk Entry saya pada hari ini ialah ANAK - Sesuai untuk bacaan orang yang dah ada anak.

Assalamualaikum wbt,

Ibubapa adalah antara faktor terbesar dalam menentukan halatuju anak2. berikut ada beberapa tips dari Robert D. Ramsey yang boleh kita jadikan panduan dalam menjadikan anak2 kita antara yang outstanding berbanding rakan sebayanya..selamat mencuba!

1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik . - bila anak kita dipanggil dengan nama yang tak baik, atau nama dah baik tapi bagi pulak gelaran yang tak baik, itu akan menyebabkan anak jadi malu dan rendah diri. Dalam Islam pun sangat digalakkan kita bg nama yang baik untuk anak2.

2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari - ada kajian yang menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Bila kita peluk dia setiap hari esp seorg mak, anak kita tau yang kita sayangkan dia. Dia akan tau kita akan jadi penyokong dia paling kuat. Dia akan sedar bahawa kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosi dia akan terbela.

3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang - pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran. Memang la ada masa kita perlu marah tapi jgnla buat muka marah sampai kawan tu takut nak dekat dgn kita langsung. Kesian kat budak. Namanya pun budak...

4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan - Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya. Bila tiap kali kita appreciate dia, dia akan rasa nak buat lagi dan nak buat lebih baik lagi. Ini la namanya motivasi...

5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan - mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
Sebenarnya mereka akan belajar lebih banyak lagi dari kesilapan yang mereka lakukan.

6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga - Bila ada masalah eloklah kita selesaikan masalah keluarga yang terdahulu. Kerana, seseorang tu akan lebih tenang kalau takde masalah keluarga. Anak2 perlu diberi keutamaan kerana mereka
sedang membesar dan proses ini akan terus berlalu dan tak akan kembali jadi jgnlah cemarkan keperibadian mereka dengan sikap mementingkan diri kita.

7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh - Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban. Ini akan menyebabkan mereka menjauhi kita. Kalau kita tak mau sunyi di hari tua, jgnlah sunyikan mereka pada usia muda mereka.

8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Seronok sebenarnya layan bebudak bercakap. Saya penah jumpa dgn kawan anak saya umur baru tiga thn tapi mulut boleh tahan, rasa mcm tak logic je tapi seronok. Ala , mcm aznil Tanya budak tu, Tiger Wood berasal dari mana, pastu budak tu jawab Zoo... untuk kita sendiri, ini adalah satu hiburan yang takleh dibeli di tempat lain.

9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya - ada masa2nya mereka akan gundah gulana. Ada masa mungkin diorg berselisih dgn kawan. Ada masa mungkin dia dah tercederakan jiran. Jadi, kita bantulah sedaya kita supaya mereka tidak rasa sendirian dalam
menyelesaikan masalah yang bagi kita kecik tapi tu mungkin masalah mega bg diorg.

10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri . Mereka akan menirunya. Jgn kita sendiri kelam kabut bila ada yang menimpa. Jgn kita tunjuk yang kita gelabah. Be cool!! Setiap masalah yang telah Tuhan takdirkan pada kita ada penyelesaiannya. Jadi, jgn gabra2.

11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya . Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.

12. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali - ade setgh budak kene byk kali ajar, baru dia faham. Mcm anmum punya iklan tu..Wardina tunjuk byk kali baru anak dia faham. Anak saya sendiri dalam satu hari ntah berapa kali dia tunjuk kat mata dia suruh saya sebut eye, tunjuk kat telinga suruh sebut ear. Jgn marah sbb kalau marah nnt terbantut la proses pembelajaran dia.

13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri. Bila saya baca ni, rasanya tak salah la saya selalu pimpin tangan anak2 even dalam rumah pun. Bila nak ajak dia bangun je, saya hulur tangan. Even nak kedapur pun untuk bancuh susu.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka - jadilah pendengar setia mereka. Kalau pasangan kita mimpi pun apa salahnya kita dengar. Best hape dengar cerita dari mimpi. Mcm drama tapi takde skrip, takde director, dan takde siaran ulang tayang.

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam - biasakan ajar dia salam kita sebelum lena. Cium dahi diorg esp mak nya..mcm cerita omputeh kan selalu dia gi bilik tidur anak n selimutkan diorg.

17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna . Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa. Ada masa anak kata papa ni garangla.. tu sbnrnya dia menegur so, ubahla. Jgn jadi too perfectionist pada anak2. nnt mereka rendah diri.

18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga. Dan mereka juga akan terasa kurang kasih sayang bila kita mengadap benda lain. Kalau anak2 dah sekolah, biasakan tolong mereka
siapkan kerja rumah, atau kita sendiri bg latihan dan perati setiap hari peralihan dia belajar dari satu topik ke topik. Bantu dia belajar lebih dari yg cikgu dia ajar.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri. Hoo..seram. tapi ada betulnya. Buatlah sesuatu supaya mereka tak menjauh dari kita. Semoga kita tidak sunyi dihari tua kita.

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda. hargailah perasaan mereka supaya mereka juga menghargai dan memahami perasaan kita.

apei - budak kampung

p/s: entry ni bukan gua tulis. Tapi ada seorang bernama Juz email ke fb gua sebagai sharing info katanya. Gua rasa boleh jugak gua share kat blog buat2 baca. Tq Juz.

Wednesday, November 17, 2010

Nenek

Assalamualaikum wbt

1999.

"Hari ni apei balik asrama kan? nak nenek dah buatkan sambal goreng tempe. Buat bekal makan kat asrama" Kata nenek kepada gua. Memang kebiasaannya macam tu, ada saja bekal dari nenek.

"Yelah terima kasih nek" Jawap gua.

Gua bukak plastik kaler oren yang dalam nyer ada satu lagi pelastik berisi sambal goreng tempe kemas berikat dengan getah kuning. Selain dari tu ada jugak 1 keping note kaler merah dan 1 keping note kaler hijau.

"Eh ni buat aper pulak ni nek? apei ada duit lah. Hari tu cuti sekolah kan ada tolong Chu Man kupas kelapa. Dia ada bagi upah sikit, lagi pun duit biasiswa ada lagi"

"Amik ajer. Pakai buat belanja. Berapa juta Chu Man bagi kau sampai duit aku pun kau tak nak?" Tak nak nenek kecik hati gua amik jugak duit tu. Gua lipat elok-elok masuk dalam poket baju batik asrama.

"Terima kasih nek, apei balik dulu. Nanti raya haji baru apei balik kampung" Gua salam nenek dan beransur nak balik ke asrama. Perasaan tak best. Perasaan ni akan datang setiap kali gua nak kena balik semula ke asrama. Pada gua asrama adalah sucks! hehehe..

Nenek jarang bagi gua duit, setiap sen yang nenek bagi pada gua sangat berharga.

**********
2010, Seminggu sebelum Raya Haji 1431.

Gua pergi rumah nenek. Hari ni nenek tak macam tahun 1999. Hari ni nenek hanya duduk atas kerusi roda, baring atas katil dan hanya mampu solat secara duduk. Kaki nenek tak macam dulu. Nenek dah tak mampu nak berdiri untuk masak sambal goreng tempe kegemeran gua lagi seperti tahun 1999 dan sebelumnya.

"Nek, nanti raya haji masak lah sambal goreng tempe... dah lama tak makan nenek masak" kata gua sambil bersila atas pangkin. Nenek duduk atas wheel chair sebelah gua. Gua memang rapat dengan nenek sebab gua dibela nenek sejak kecik.

"Macam mana aku nak masak, nak berdiri pun tak larat" Jawap nenek sambil tangan sibuk membilang butir tasbih.

kung-kang-kung-kang macam-macam benda gua sembang ngan nenek. Kat luar rumah gua tengok Puan Marlina sibuk bagi arahan kepada Mr G (adik lelaki gua) sambil tunjuk-tunjuk mangga muda yang harus Mr G kait. Orked pulak sibuk kutip mangga muda yang dah jatuh masuk dalam plastik beg.

"Nek, ni ada duit sikit memang apei niat nak bagi buat belanja nenek" Gua tak pernah bagi nenek duit pasal gua tau nenek memang ada duit. Anak-anak dia orang senang. Rumah sewa nenek pun ada 2-3 buah. Gua tau..

"Tak payah lah.. aku dah tak ada nak tanggung saper-saper. Duit banyak pun nak buat aper. Kau simpan ajer duit tu. Buat belanja anak kau. Esok lusa nak tambah lagi tu" Jawap nenek. Mata nenek tepat merenung tingkah laku Orked di laman rumah.

"Apei niat memang nak bagi ni nek. Ambik ajer lah..."

"Macam ni lah, balik nanti kau singgah surau kita tu, kau sedekah ajer kat sana. Bukan duit yang aku nak.. aku suka cucu-cicit aku ada selalu kat rumah ni. Itu lagi mahal harganya. Betol tak?"

Cepat-cepat gua masuk duit dalam poket "InsyaAllah nek, ada masa apei balik kampung selalu"

apei - budak kampung

p/s: "Nek, duit yang apei niat nak bagi kat nenek tu apei dah bagi kat orang surau suruh buat qorban nama nenek satu bahagian. Dan satu lagi duit 15 ringgit yang nenek bagi dulu tu dah 11 tahun dalam beg duit apei ni... masih terlipat elok macam mula-mula nenek bagi dulu. Terima kasih nek"

Monday, November 8, 2010

Sambutan Hari Depavali

Assalamualaikum wbt,


Sambutan Depavali gua tahun ni adalah yang paling hambar rentetan dari kejadian Pn Marlina kurang sihat pada minggu lalu. Biasalah ibu-ibu mengandung. Jadi disebabkan itu, sambutan Depavali tahun ini adalah sarat dengan aktiviti tengok tivi cerita berunsur 1Malaysia, tidor, talipon Mekdonal suruh hantar burger, tidor, kemas rumah, tengok tivi, cabut rumput depan rumah, lap tingkap, bagi ikan makan, tengok jiran india sebelah rumah main bunga api dan masak meggi. Kesimpulannya gua menghabiskan masa hanya dirumah bersama Cik Orked dan Pn Marlina.

Beberapa rancangan untuk berhibur di sekitar kawasan selatan semenanjung dan Pulau Temasik terpaksa di pospon ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Dalam kebosanan gua dirumah, sempat lah jugak 2-3 kali gua membukak blog ni dengan harapan mendapat kekuatan untuk meng-update. Tapi sayangnya, gua kecundang. Baru tulis satu baris, terus tak ada mood. Paling terer adalah percubaan gua yang ke-3 iaitu pada hari Sabtu malam, gua dapat menulis sehingga 4 baris. Kemudian mood untuk menulis hilang lagi.

Gua agak ni mungkin tempias kesan dari Pn Marlina yang sedang berbadan dua. Orang tua-tua kata 'Pembawakan Budak'.

Jadi, di sebabkan 'Pembawakan Budak', gua ingat nak amik keputusan tak nak tulis blog sampai Pn Marlina bersalin kira-kira bulan June tahun depan.

Amacam ok tak?

apei - budak kampung

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...