Makhluk luar angkasa (part ii)



Pagi tu aku bangun dari tidur, tak ada yang ganjil. Semua seperti biasa. Aku mandi dan bersiap untuk ke pejabat.
Matahari cerah, teriknya terasa pedih terkena kulit.
Aku cepatkan langkah ke pintu kereta, masuk ke dalam dan aku hidupkan enjin. Aku pulas butang penghawa dingin ke takuk maximum. Nyaman.

Aku menyusuri jalan biasa ke pejabat.. masih semuanya seperti hari-hari semalam. Sunyi. Aku hidupkan radio dari stesen kegemaran aku. Suara DJ kurang jelas. Aku kuatkan suara radio. Aku amati butir-butir perkataan yang disampaikan DJ. 1 perkataan pun aku tak faham. Bahasa apa kau cakap ni? .. sampai ke lagu, musiknya aneh, suara penyayi juga aneh, lirik juga aku tidak faham. Aku cuba alih ke stesen lain. Masih sama. Aku tutup saja radio. Pelik.

Sampai ke pejabat, seperti biasa ada yang sudah sampai awal dari aku. Mereka mesra dengan senyuman masih seperti hari-hari sebelum. Sedikit lega namun pertuturan mereka juga aneh pada aku. Aku mula sangsi, apa sudah jadi. Bila aku mula berkomunikasi dengan mereka, mereka juga nampak seolah tidak faham apa yang aku tuturkan.

Aku duduk di meja kerja, lama aku termenung. Apa sudah jadi. Otak aku rosak? Entah.

Tidak lama rakan yang aku kira rapat sampai ke pejabat. Aku cuba bercerita perihal anehnya perkara-perkara yang aku alami dari tadi. Dia juga awalnya aku rasa kurang faham apa yang aku tuturkan. Tapi dia cuba. Cuba untuk faham. Akhirnya kami mengunakan bahasa aneh, bahasa yang hanya aku dan dia faham. Bahasa mata dan gerak tubuh.

Dari respon yang aku terima, disini, beberapa undang-undang perlu aku patuhi dan fahami.
1. Buat baik berpada-pada
2. Jika mahu bercakap harus jaga tutur kamu
3. Perlu pandai simpan rahsia
4. Bekerja, berkawan, makan, minum dan bercakap juga ada undang-undang. Jangan bergaul dengan jantina lain.
5. Maksud kita kawan itu adalah bila gelak kita bersama, bila kau susah atau sakit, itu hal kau
6. Apa yang aku cakap hari ini, tak semestinya esok pun sama
7. Disini, aku boleh benci kau bila-bila masa aku rasa nak
8. Kamu juga tidak boleh sayang siapa-siapa sebab hak untuk menyayangi itu bukan hak kamu
9. Jika hari ini kita kawan dan kau mati, esok ada orang lain ganti kamu. Harga kamu tiada. Itu kau harus ingat dan faham
10. Dan, apa pun yang kau pernah buat, jangan sesekali kau cerita sebab aku memang tak pernah ingat dan tak mahu ingat.

Selepas itu, dia tersenyum dan berlalu...

Selama ini aku fikirkan kau tu makhluk dari luar angkasa, rupa-rupanya aku makhluk dari entah mana datang kesini. Sungguh baru hari ini aku tahu dan sedar ini bukan tempat aku, ini bukan orang-orang aku dan ini bukan rumah aku.

Selama beberapa puluh purnama ini aku disini aku dah rasakan ini rumah aku, ini tempat aku dan kamu keluarga aku.

Apalah erti rumah kalau tiada keluarga dan kamu.

Aku mula berkira-kira, mungkin aku perlu pulang ke tempat asal aku jauh di sebalik bintang sana.

Tak mengapa, kalau suatu masa, rindu itu datang, tegok ke bintang. Aku disana...

Apei - budak kampung.




Comments

Popular Posts